5 petang: Sepucuk pistol milik polis dikatakan diragut oleh peserta perhimpunan Bersih 3.0.
Menurut tweet polis, orang ramai diminta berhati-hati berikutan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dilaporkan berkata, sebuah kereta polis diterbalikkan oleh peserta perhimpunan berkenaan berdekatan Sogo.
4 petang: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk Ambiga Sreenevasan dan pemimpin pembangkang beredar dari tempat Perhimpunan BERSIH 3.0 dan meminta peserta supaya turut beredar.
3.56 petang: Para peserta berundur menghala ke arah Brickfields, Jalan Pudu, Sogo dan Maju Junction.
3.46 petang: Stesen LRT Dang Wangi dan Pasar Seni ditutup atas sebab keselamatan.
3.45 petang: Peserta yang telah ditangkap merusuh, menghalang anggota polis bertugas dibawa ke Royal Selangor Club untuk diproses. Cuaca mula gelap dan mendung menandakan hujan akan turun.
3.30 petang: Polis terus menjalankan tugas mengawal keamanan. Gas Pemedih mata dan juga meriam air turut digunakan di Jalan Tun H.S. Lee dan berdekatan Stesen LRT Masjid Jamek.
3 petang: Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan meriam air kira-kira jam 3 petang apabila sebahagian besar peserta perhimpunan Bersih 3.0 mula bertindak liar dengan merempuh hadangan di sekitar Dataran Merdeka, sebentar tadi.
Gas pemedih mata dan meriam air terpaksa dilepaskan jam 3 petang, diikuti sekali lagi pada lima minit kemudian.
Peserta perhimpunan kemudiannya melarikan diri ke beberapa bangunan di sekitar Jalan Raja Laut termasuk Menara DBKL
Kelihatan peserta perhimpunan ditahan pihak berkuasa.
2.40 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang ketika ini berada di Menara Maybank dan sedang berucap di hadapan ribuan penyokong Bersih 3.0.
2 petang: Keadaan di sekitar Dataran Merdeka masih terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun ribuan peserta Bersih 3.0 berkumpul di kawasan berkenaan sejak pagi.
Polis masih berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memantau keseluruhan gerakan peserta perhimpunan tersebut.
1.30 petang: Amaran dikeluarkan kepada penyokong Bersih 3.0 supaya berundur tetapi mereka enggan berganjak dan meninggalkan Dataran Merdeka.
Penyokong sanggup berasak-asak dalam cuaca panas terik untuk memberi sokongan kepada perhimpunan ini yang tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusi DAP, Karpal Singh tiba di Dataran Merdeka untuk bersama pemimpin pembangkang yang lain termasuklah Azmin Ali dan penganjur Bersih 3.0, Amibiga Sreenevasan.
12.20 pagi: Naib Presiden PKR, Azmin Ali tiba di Dataran Merdeka.
12.00 pagi: Kelihatan salah seorang Ahli Majlis SUHAKAM, James Nayamugam sedang berbincang sesuatu dengan kumpulan penyokong Bersih 3.0.
Ketika ini, perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Kuala Lumpur masih terkawal walaupun berlaku insiden penyokong memarahi pasukan keselamatan yang menjalankan tugas mengawal keamanan.
11.40 pagi: Laungan Bangkit Malaysia bergema di Dataran Merdeka dan ketika ini Unit Amal Malaysia (PAS) dari Selangor sedang berarak menuju ke Dataran Merdeka.
10.30 pagi: Penganjur Bersih 3.0, Ambiga Srenevasan tiba di Masjid Negara dan bergerak terus ke Dataran Merdeka.
Ketika ini, bilangan penyokong mencecah 10,000 orang masih jauh daripada sasaran 500,000 peserta yang disasarkan pihak penganjur.
Tinjauan juga mendapati kebanyakan gedung perniagaan terpaksa ditutup dan pusat beli belah terkenal, Sogo juga mungkin ditutup pada sebelah petang nanti kerana pengusaha tidak mahu mengalami kerugian jika sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
8.30 pagi: Penyokong Bersih 3.0 sudah mula membanjiri beberapa jalan sekitar ibu kota sejak jam 8 pagi tadi.
Antara kawasan yang sudah dipenuhi penyokong ialah Puduraya, Masjid Jamek, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka.